15 Disember 2016

Saguppal Biru Bunga Telang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Musim hujan yang melanda mengurangkan aktiviti berkebun di LamanComelKami kerana lazimnya hujan turun lebat di waktu pagi dan petang, menjadikan waktu untuk berkebun sedikit terhad.

Di halaman kami, ada pokok yang tidak tahan dengan air yang banyak dan terpaksa dialihkan ke kawasan berbumbung. Namun, ada antara tanaman yang sangat menggemari musim hujan ini, antaranya pokok bunga telang.

Saguppal biru

Pokok bunga telang berbunga dengan lebat di musim hujan. Demi memanfaatkan bunganya yang banyak, kami mencuba membuat saguppal biru menggunakan pewarna asli dari bunga telang. Sebelum ini kami kerap menggunakan pewarna merah dan hijau untuk pencuci mulut berasaskan sagu ini.

Bahan-bahan: 1 cawan sagu halus, 15 kuntum bunga telang (buang tampuk dan ambil kelopaknya sahaja), 2 helai daun pandan, 1 cawan susu cair, 1 kotak kecil santan, 2 ketul gula kerek, gula pasir secukupnya dan secubit garam.

Basuh dan toskan sagu. Didihkan 2 cawan air bersama bunga telang sehingga didihan menjadi biru. Rendam sagu dengan air rebusan yang masih panas, paras air sama dengan paras sagu. Biarkan sagu mengembang.

Didihkan air, larutkan gula kerek dan masukkan daun pandan simpul. Setelah gula larut, masukkan santan dan susu cair, tambahkan gula pasir secukupnya dan secubit garam. Apabila mendidih, kepalkan sagu yang telah direndam tadi dan jatuhkan ke dalam kuah tersebut. Setelah sagu timbul, tutupkan api dan hidangkan suam atau sejuk.

Sengaja mengubah sedikit untuk tujuan suka-suka, alhamdulillah, percubaan ini diterima oleh keluarga.

10 Disember 2016

Bayam Malabar Goreng Belacan

Assalamualaikum dan salam berhujung minggu untuk semua. Masih ingat entri terdahulu kami mengenai bayam malabar? Kali ini kami ingin kongsikan perkembangan dan hasil tuaian sayur ini untuk makan malam kami di LamanComelKami.

Daun hijau seakan berminyak

Mula menghasilkan biji benih

Bayam malabar yang kami tanam telah tumbuh dengan suburnya dan mula menghasilkan biji benih. Setiap kali ke halaman belakang, mata kami tidak pernah terlepas dari memandang tumbuhan yang sentiasa nampak segar ini. Daunnya yang hijau nampak seolah-olah berminyak cukup membuatkan kami gembira, walaupun masakan pertama kami menggunakan sayur ini tidak menepati citarasa.


Ambil bahagian pucuk untuk dimasak

Tumbuk kasar bahan untuk menumis iaitu bawang merah, bawang putih, cili padi, belacan dan kiub ikan bilis

Sedapnya bayam malabar goreng belacan

Kali ini kami cuba memasak bayam malabar dengan belacan dan cili api pula. Ternyata hasilnya tidak menghampakan. Terima kasih kepada Encik Iskandar, pemilik blog tanamsendiri.com yang menjadi pencetus kepada kami untuk mengenali sayur yang agak asing bagi kami, walaupun ramai yang telah menikmati sayur ini sebagai sajian kegemaran keluarga.

Kepada yang baharu mengenali sayur ini, silakan mencuba cara masakan ini dan nikmati bayam malabar yang segar dari halaman sendiri. Alhamdulillah.

26 November 2016

Raikan Cuti Cara Thunbergia Biru (Blue Clock Vine)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat bercuti kepada adik-adik dan selamat bekerja tanpa keriuhan suara anak didik kepada para guru dan warga sekolah semua.

Cuti panjang yang ada tentu sahaja menjadi ruang untuk menghela nafas setelah penat menangani segala hal yang berlaku saban hari. Apapun, bersyukur atas segala nikmat pemberian Yang Maha Esa, dan usah jemu menitip doa untuk kesejahteraan semua.

Bunga Thunbergia Biru @ Blue Clock Vine

Minggu ini bagi kami di LamanComelKami milik Si Thunbergia Biru. Dijemput ke halaman dengan bekalan satu kudup sahaja, kini ia megah mempamerkan bunga-bunga ungu kebiruannya sepanjang minggu. Semakin hari semakin jauh jangkauannya, semakin lebat juga bunganya menghiasi para.

Menunggu masa untuk berkembang

Pada awal minggu ini, bunga pertama berkembang disusuli dua kuntum bunga lagi pada hari berikutnya. Kembangnya silih berganti dan pada pagi ini kami lihat semakin meriah bagaikan merai cuti persekolahan. Mungkin ia sengaja memancing lebih waktu untuk dibelek dan diperhatikan oleh semua, kerana tentunya waktu cuti merupakan waktu terbaik untuk berlama-lamaan di sekitar halaman.

Gagah merambat para

Kembangnya silih berganti

Thunbergia Biru ini juga kami beli di Cameron Highlands semasa melawat taman bunga ros di sana. Kami agak kerap ke sana pada tahun ini disebabkan misi mencari tanaman memanjat sambil membawa seisi keluarga berhujung minggu di sana. Jarak di antara rumah kami ke kawasan tanah tinggi itu pula tidaklah berapa jauh, jadi ia merupakan tempat yang sesuai untuk berehat sambil menikmati cuaca yang sejuk.

Semoga semua penghuni halaman ini sentiasa subur dan menjadi salah satu sebab bagi kami untuk merenung keindahan ciptaan Allah.

21 November 2016

Tarragon yang Istimewa

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Catatan kali ini mengenai pokok herba dari keluarga bunga matahari iaitu tarragon.

Bunga tarragon

Perkenalan kami dengan tarragon berlaku tanpa sengaja di Cameron Highlands semasa kami singgah untuk membeli pokok lavender. Walaupun kami tahu peluang untuk lavender hidup di tanah rendah adalah tipis, dek kerana sifat ingin mencuba, kami cari juga pokok yang satu itu.

Penjual di situ pula mencadangkan kami pokok berbunga kuning yang pada pengamatan kami tidak ada yang istimewa. Ia pokok yang biasa-biasa sahaja dan bunganya seperti bunga tahi ayam dari segi rupa dan warnanya. Yang membezakan bunga pokok ini hanyalah dari segi saiznya yang lebih kecil dari bunga tahi ayam.

Namun, kami bertanya juga kepada si penjual ini mengenai kelebihan si tarragon ini. Katanya ia sedap sebagai ramuan kari ayam. Cuma masukkan beberapa helai daunnya ke dalam kari ayam, ia sebagai penyedap kata penjual itu.

Daun tarragon

Pada fikiran kami, ini termasuk dalam kategori unik juga kerana kebiasaan kita menggunakan daun kari. Daun tarragon dalam kari? Belum pernah kami dengar. Kerana sifat semulajadi kami yang sukakan sesuatu yang berbeza, kami bersetuju menjemput si tarragon ke LamanComelKami.

Maka, bermula saat itu sehingga kini sudah hampir setahun, tarragon menghuni halaman belakang rumah kami. Setelah beberapa kali hampir mati kerana kekeringan, tarragon membuktikan dirinya sebagai tumbuhan yang agak toleran kepada cuaca yang berubah-ubah. Setelah menjumpai tempat yang sesuai, yang lebih redup di halaman belakang, ia kian subur hari demi hari.

Seronok menghuni halaman belakang

Juga alhamdulillah, tidak mengecewakan untuk menikmati kari yang ternyata berganda sedapnya dengan menambah herba tarragon sebagai salah satu ramuannya. Dan bagaimana pula dengan pokok lavender di LamanComelKami? Pembaca semua mungkin boleh meneka kesudahan ceritanya.

16 November 2016

Bunga Telang, Bunga Nasi Kerabu

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua. Catatan kali ini mengenai pokok bunga telang.

Bunga telang

Bunga telang atau Butterfly-pea Flower merupakan sejenis tanaman memanjat. Melalui pemerhatian kami, pokoknya cepat menjalar dan akan berbunga lebat terutama pada musim hujan. Bunganya berwarna biru terang dan sangat menangkap pandangan kerana warna bunganya itu.

Pokok bunga telang kami perolehi dari saudara kami, Encik Roslan, yang juga pemilik Nurseri Flora Selindang. Pokoknya mudah sahaja dibiakkan, dan kami suka menyemai benih dari biji kacangnya. Ada rakan baik kami yang kami berikan anak pokok hasil semaian ini, membiarkan pokok bunga telang menjalar memanjat rumah orkidnya. Sungguh cantik!

Bunga telang berlapis

Pokok bunga telang yang merimbun

Ada 2 jenis bunga telang yang ada di LamanComelKami iaitu yang mempunyai selapis kelopak dan dua lapis kelopak bunganya. Sebenarnya kami menanam pokok bunga telang kerana tertarik dengan warna biru semulajadi pada nasi kerabu yang dijual di pasar. Sejak kecil lagi, kami lebih gemar nasi biru dari warna asli bunga telang berbanding biru dari pewarna makanan.

Kini setelah dewasa, kami dapat memanfaatkan penggunaan bunga telang dalam banyak cara. Hasil carian di Google, kami mencuba air rebusan bunga telang bersama daun pandan, yang menarik warnanya. Juga air rebusan tersebut boleh berubah warna kepada merah jambu jika diperahkan air limau ke dalamnya. Seronok juga bila mendapat 'Wow!' dari Cik Amalin yang kagum dengan perubahan warna tersebut.

Jika berasa bosan dengan nasi berwarna putih, masukkan sahaja beberapa kelopak bunga telang semasa proses menanak. Dan jika nasi tersebut berbaki keesokkannya, buatlah apam dari lebihan nasi tersebut. Ada kelainan dan pastinya menarik. Kami juga pernah mencampurkan bunga telang ke dalam didihan air soya, jadi air soya bukan lagi berwarna putih susu!

Kepada yang inginkan pewarna biru semulajadi, disarankan bunga telang sebagai salah satu sumbernya.

10 November 2016

Cendawan Tiram @ Dapur Mak [Episod Akhir]

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entri kali ini merupakan episod akhir kisah cendawan tiram di dapur mak kami. Kali ini, kami biarkan gambar berbicara. Semoga pembaca mendapat manfaat dari catatan-catatan kami berkaitan topik ini.

EPISOD AKHIR

8 November






9 November




Setelah cendawan-cendawan dipetik, kami mengorek keluar saki-baki akarnya dan menutup muncung bongkah untuk persediaan pusingan kedua. Menurut pengalaman rakan-rakan, muncung bongkah perlu ditutup selama seminggu dan bongkah mesti sentiasa lembap untuk proses pemeraman benih. Setelah seminggu, penutup boleh dibuka dan episod 1 musim baharu pun bermula.

Projek cendawan tiram secara suka-suka pusingan 1 berjaya! Alhamdulillah.

9 November 2016

Berjinak-jinak dengan Kemboja Cina

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga semua pembaca mendapat lindungan dan rahmat Allah selalu. Kali ini perkongsian kami mengenai Kemboja Cina.

Bunga kemboja cina yang menawan.
Imej dari Google

Kemboja Cina pertama menghuni LamanComelKami kepunyaan mak kami yang dibeli pada awal tahun ini. Kami tahu ramai pembaca yang lebih arif tentang pokok ini berbanding kami. Sila kongsikan pengalaman di ruangan komen untuk rujukan kami dan pembaca semua.

Mak kami sebenarnya lebih cenderung menanam bunga kertas dan orkid kerana katanya tidak banyak ragam dan tidak perlu kerap disiram. Disebabkan faktor inilah, Kemboja Cina agak lewat mendiami halaman.


Benih kemboja cina

Jiran di seberang jalan rumah kami, yang kami panggil Mak Teh Mah pula berbeza. Beliau ada banyak pokok jenis ini. Kira-kira dua bulan yang lepas, beliau dengan senang hati memberikan mak kami seplastik kecil benih kemboja cina miliknya. Mak pula memanjangkan sedekahnya kepada kami. Terima kasih jiran yang baik hati.

Tanpa disangka 3 benih bercambah kesemuanya

Benih yang bertukar tangan segera sahaja disemai dengan penuh harapan. Selang beberapa hari, tanpa diduga setiap benih yang disemai menumbuhkan satu anak pokok. Ada juga benih yang kami letakkan 3 benih dalam 1 lubang, tumbuh semuanya. Peratusan benih yang berjaya tumbuh ialah seratus peratus. Alhamdulillah.

Anak-anak pokok yang semakin membesar
Perkembangan si kembar 3

Kini anak-anak pokok semakin membesar, kami akan cuba mengikut tips yang diberikan oleh Encik Othman Talib dalam blognya drotspss.blogspot.my/2011/02/tips-membuat-bonsai-cara-mudah.html?m=1 . Kami mengalu-alukan tips dan perkongsian dari anda, jiran dunia maya LamanComelKami!

7 November 2016

Cendawan Tiram @ Dapur Mak [ Episod 2 ]

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih kerana sudi singgah di LamanComelKami yang seadanya ini. Perkongsian kami di laman ini sekadar coretan ringkas tentang aktiviti di LamanComelKami untuk rujukan masa depan, khasnya untuk puteri kesayangan kami, Cik Amalin.

Catatan kali ini merupakan kesinambungan catatan lepas mengenai projek suka-suka, cendawan tiram.

EPISOD 2

Jika pada episod lepas, kami menyusun bongkah-bongkah cendawan di tempat yang disediakan, kali ini pada 5 November 2016, kami memulakan proses menternak cendawan mengikut panduan yang diberikan oleh bos dan rakan kami.

Kain lembap diletakkan dan muncung bongkah dibuka

Kami meletakkan kain lembap di bahagian bawah dan atas bongkah-bongkah tersebut dan merenjis air ke atas kain 2 kali sehari untuk memastikan bongkah-bongkah tersebut sentiasa lembap. Kami juga meletakkan sebekas air di bahagian bawah rak untuk mengekalkan kelembapan. Menurut pengalaman yang dikongsikan oleh rakan-rakan, cendawan akan mula tumbuh pada hari keempat.

Bagi memastikan cendawan dapat tumbuh dalam persekitaran yang sesuai, kami membina rumah ringkas bagi bongkah-bongkah ini. Kami menggunakan langsir terpakai yang bersih sebagai 'bumbung' dan 'dinding'. Ini disebabkan melalui pembacaan, cendawan memerlukan persekitaran yang gelap, sejuk dan lembab juga mempunyai pengudaraan yang baik.

Pada 6 November, kami menambah lebih banyak kain lembap kerana lapisan kain yang nipis terlalu cepat mengering. Keesokkan harinya kami dapat melihat cendawan-cendawan telah mula tumbuh pada beberapa muncung bongkah. Terima kasih kepada Cik Husna dan Cik Amalin yang rajin merenjis air setiap kali lalu di tepi rumah cendawan tersebut.

Perkembangan pada hari ke-3

Semoga projek ini dapat berjalan dengan jayanya. Bagi pembaca yang ingin berkongsi pengalaman mahupun teguran, sila berbuat demikian di ruangan komen. Terima kasih.

.....bersambung



6 November 2016

Lobak Merah Idaman Cik Amalin

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi menjenguk LamanComelKami. Kali ini kami ingin berkongsi mengenai tanaman lobak merah.

Benih yang dipilih oleh Cik Amalin

Sebenarnya kami cuba menanam lobak merah atas permintaan Cik Amalin. Puteri kami cukup berminat setiap kali kami melakukan aktiviti sekitar rumah terutama aktiviti menyemai biji benih.

Semasa keluar berjalan-jalan, kami lalu di hadapan kedai alatan berkebun. Mata Cik Amalin seperti biasa tertumpu pada rak biji benih. Terus sahaja tangan comelnya itu mencapai benih lobak merah dan seperti biasa mula mengaitkan keinginannya dengan hujah sokongan, "Amalin nak tanam lobak, ibu. Nak mata cantik macam mata arnab. Cikgu kata lobak baik untuk mata." Baiklah, Cik Amalin.

Pada petang hari yang sama, kami menyediakan medium semaian, dengan merujuk blog Encik Iskandar di tanamsendiri.com. Entah berjaya atau tidak, kami cuba sahaja. Dan atas dasar mencuba, ditambah memanfaatkan masa bersama Cik Amalin, inilah perkembangannya setakat hari ini, alhamdulillah.





4 November 2016

Cendawan Tiram @ Dapur Mak [Episod 1]

Assalamualaikum dan salam berhujung minggu. Semoga semua pembaca ceria dengan aktiviti masing-masing. Catatan kali ini mengenai cendawan tiram.

Cendawan tiram. Imej dari Google

Kami kira ramai dalam kalangan pembaca berpengalaman menternak cendawan tiram dalam skala kecil mahupun besar. Kami pula hanya mencuba secara suka-suka.

Projek cendawan tiram Puan Haliza

Bos di tempat kerja kami yang baharu, Puan Haliza, memperkenalkan aktiviti ini kepada kami dan rakan-rakan sekerja. Disebabkan cara untuk memperolehi bongkah cendawan ini mudah - melalui kiriman dengan orang kampung - makanya bermulalah episod penternakan cendawan di LamanComelKami.

Sebenarnya rumah kami yang tersangat comel itu tiada ruang sesuai untuk menternak cendawan ini. Jadi kami mohon ruang kecil di rumah Mak kami untuk dijadikan tempat bagi 15 bongkah cendawan yang dipesan.

EPISOD 1

Kami menerima bongkah-bongkah cendawan yang dipesan, dihantar oleh rakan kami, Puan Asamah ke rumah pada lewat petang Khamis, 3 November 2016. Terima kasih, Asamah.

Bongkah-bongkah cendawan yang telah siap disusun

Bongkah-bongkah itu terus sahaja ditempatkan di ruang yang sedia menanti, rak kasut yang memang dibeli khas untuk projek ini. Menurut bos kami, bongkah-bongkah itu sudah sedia untuk berbakti. Kita lihat perkembangannya dalam catatan seterusnya, inshaa allah.

                                                    ...bersambung

30 Oktober 2016

Bunga Matahari Penyeri Halaman

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Lama juga kami di LamanComelKami tidak menulis apa-apa. Ini disebabkan beberapa kekangan yang membataskan aktiviti di blog ini.

Istimewa sempena cuti Hari Deepavali yang agak panjang, aktiviti di LamanComelKami dapat dipelbagaikan berbanding hari-hari bekerja. Biasanya pada hari cuti sebegini, kami dapat melakukan aktiviti mengemas halaman, berbanding hari bekerja yang agak terbatas masanya.

Kali ini, kami ingin berkongsi mengenai pokok bunga matahari yang sedang kembang mekar bunganya di halaman rumah. Bunga matahari merupakan salah satu bunga yang kami paling suka kerana rupanya yang bagi kami sungguh istimewa.

Cantiknya bunga matahari

Sedang berkembang mekar

Kami suka melihat bunga matahari dari jarak dekat disebabkan susunan kelopak dan biji-bijinya yang sangat mengagumkan. Betapa sempurna dan terperincinya ciptaan Yang Maha Esa, sehinggakan kejadian pada sekuntum bunga pun tidak diabaikan. Subhanallah!

Sungguh mengagumkan!

Benih untuk bunga ini kami perolehi dari jiran sekampung merangkap bekas bos kami yang mengirimkannya melalui mak kami. Beliau tahu yang kami suka menanam, jadi semasa bertembung dengan mak kami, diberinya benih si cantik ini. Terima kasih, bos!

Tiga sekawan penyeri LamanComelKami

Bunga-bunga matahari selalu juga menghiasi halaman kami, dan setiap kali itulah ia membawa keceriaan dan keterujaan kepada seisi keluarga. Seronok juga bila melihat lebah-lebah dan rama-rama singgah berkongsi nikmat ini. Syukur, Ya Allah.

19 Oktober 2016

Lagi Mengenai Hidroponik

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga semua pembaca ceria di pertengahan minggu. Catatan kali ini mengenai pokok kesum yang ditanam secara hidroponik.

Pokok kesum

Jika sebelum ini tanaman hidroponik di LamanComelKami menggunakan takung yang dibeli dari Purple Garden, kali ini kami mencuba dengan bekas yang dibuat sendiri. Untuk baja pula, kami masih menggunakan baja hidroponik dari Purple Garden. Idea untuk membuat takung diperolehi dari melihat teknik dan hasil takung hidroponik ramai pencinta kaedah ini yang boleh dicari melalui google.

Daun kesum dari kebun dapur

Kami merasa senang hati apabila daun kesum yang ingin dipetik jaraknya hanya selangkah dari pintu belakang rumah. Sungguh memudahkan kerja! Jika diimbau kembali semasa zaman kecil kami, mak memetik daun kesum nun di tepi parit belakang rumah. Sekarang, mak kami pun seronok memetik hasil hidroponik ini.

Takung hidroponik buatan sendiri

Semaian bayam

Comel kan?

Bagi kami yang baru berjinak dengan dunia tanaman, dengan kaedah hidroponik, tanaman yang dahulu mendiami kawasan berair seperti parit dan paya boleh dibawa ke kebun dapur dan mampu tumbuh subur tanpa banyak ragam.

16 Oktober 2016

Bereksperimen dengan Biji Kurma

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam hari Ahad untuk semua. Semoga hari ini dapat dimanfaatkan sebaiknya samada dengan aktiviti bersama keluarga mahupun bagi yang memulakan minggu bekerja.

Bermulanya penulisan di blog ini bertujuan untuk berkongsi tentang aktiviti yang dilakukan di LamanComelKami. Kami berharap suatu hari nanti puteri kesayangan kami, Cik Amalin, akan dapat membaca coretan kami di blog ini.

Catatan hari ini dari LamanComelKami mengenai percubaan menanam kurma dari biji. Eksperimen ini hanya untuk suka-suka kerana mungkin ingin menguji samada biji kurma mampu tumbuh atau tidak di laman kami.

Anak pokok kurma

Bermula kisah kami dan kurma pada Ramadhan tahun lepas, kami mengumpul biji kurma untuk disemai setelah membaca artikel Seri Laman di serilaman.sekolah4u.com/menanam-kurma-daripada-biji

Percubaan kami sememangnya mengikut langkah-langkah yang diterangkan dalam artikel tersebut. Pada 24 jam pertama, kami merendam biji-biji kurma. Kemudian dibersihkan dan direndam lagi selama 24 jam juga. Setelah itu, biji-biji tersebut disemai di dalam bekas bertutup. Di dalam bekas itu, kami letakkan biji kurma di atas tisu basah.


Biji kurma mula bercambah

Selepas beberapa hari, biji-biji tersebut mula mengeluarkan akar. Setelah akarnya menjangkau 1 inci, kami memindahkan biji tersebut ke medium semaian di dalam pasu-pasu kecil yang direndam di dalam bekas berisi sedikit air.

Anak pokok di medium semaian
Setelah daun mula tumbuh melebihi sejengkal, kami memindahkan anak-anak pokok kurma itu ke dalam bekas yang lebih besar. Alhamdulillah, eksperimen berjaya!