18 April 2017

Ros Jepun dan Cikgu

Assalamualaikum semua! Lama sungguh kami tidak menulis. Kekangan utama sudah tentu capaian internet yang sungguh menyedihkan di kawasan luar bandar yang mengehadkan aktiviti dalam blog ini.


Kali ini catatan ringkas kami ditujukan khas untuk guru kesayangan kami dan juga semua yang bergelar guru sempena sambutan hari guru yang bakal menjelma tidak lama lagi. Catatan ini mengenai pokok ros jepun, yang kami panggil juga bunga kembang pukul 10. Sebenarnya, ros jepun bukanlah tanaman kegemaran kami, namun ianya seringkali menangkap pandangan mata untuk terus menikmati warna terangnya.

Kami lebih tertarik pada ros jepun jenis berlapis, kerana pada kami ia nampak sungguh gebu dan comel. Jadi, setiap kali terjumpa, kami akan minta benih pada mana-mana tuannya.


Setiap kali melihat ros jepun, setiap kali itulah terimbau memori semasa di bangku sekolah rendah dahulu. Seingat kami, ia merupakan pokok pertama yang kami tanam secara 'serius'. Serius itu dari segi bersungguhnya menanam untuk menghias ruang hadapan kelas. Lebih-lebih lagi arahan itu datang dari guru kesayangan kami, Cikgu Nahari.


Ros jepun juga mengingatkan kami gubahan dari tisu juga bimbingan beliau iaitu gubahan berbentuk bunga carnation. Sungguh, setiap kenangan itu menjemput senyum dan semestinya rindu pada segala ruang dan peluang bersama pada masa itu.

Cik Amalin pun mempunyai kenangan berkaitan antara ros jepun dan guru-guru tadikanya, Cikgu Mariani dan Cikgu Reena. Sejak bersungguh bersama-sama menyiapkan projek untuk keceriaan sekolahnya, Cik Amalin selalu juga mencuri peluang mematahkan pokok ros jepun dan mencucuknya ke dalam pasu di halaman rumah. Ada satu masa dia tersenyum dan berbisik, "Seronok kan ibu, kita tanam dalam botol kat tadika dulu".

Kami percaya keperibadian seseorang guru itu memberi impak yang besar dalam hidup anak-anak muridnya. Dan harus diakui, semakin unik cara seseorang guru itu, semakin kuat pengaruh yang meresap dalam diri anak-anak didiknya.

Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran kepada semua guru-guru yang telah mewarnai kanvas kehidupan kami di LamanComelKami. Terima kasih, cikgu.

15 Disember 2016

Saguppal Biru Bunga Telang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Musim hujan yang melanda mengurangkan aktiviti berkebun di LamanComelKami kerana lazimnya hujan turun lebat di waktu pagi dan petang, menjadikan waktu untuk berkebun sedikit terhad.

Di halaman kami, ada pokok yang tidak tahan dengan air yang banyak dan terpaksa dialihkan ke kawasan berbumbung. Namun, ada antara tanaman yang sangat menggemari musim hujan ini, antaranya pokok bunga telang.

Saguppal biru

Pokok bunga telang berbunga dengan lebat di musim hujan. Demi memanfaatkan bunganya yang banyak, kami mencuba membuat saguppal biru menggunakan pewarna asli dari bunga telang. Sebelum ini kami kerap menggunakan pewarna merah dan hijau untuk pencuci mulut berasaskan sagu ini.

Bahan-bahan: 1 cawan sagu halus, 15 kuntum bunga telang (buang tampuk dan ambil kelopaknya sahaja), 2 helai daun pandan, 1 cawan susu cair, 1 kotak kecil santan, 2 ketul gula kerek, gula pasir secukupnya dan secubit garam.

Basuh dan toskan sagu. Didihkan 2 cawan air bersama bunga telang sehingga didihan menjadi biru. Rendam sagu dengan air rebusan yang masih panas, paras air sama dengan paras sagu. Biarkan sagu mengembang.

Didihkan air, larutkan gula kerek dan masukkan daun pandan simpul. Setelah gula larut, masukkan santan dan susu cair, tambahkan gula pasir secukupnya dan secubit garam. Apabila mendidih, kepalkan sagu yang telah direndam tadi dan jatuhkan ke dalam kuah tersebut. Setelah sagu timbul, tutupkan api dan hidangkan suam atau sejuk.

Sengaja mengubah sedikit untuk tujuan suka-suka, alhamdulillah, percubaan ini diterima oleh keluarga.

10 Disember 2016

Bayam Malabar Goreng Belacan

Assalamualaikum dan salam berhujung minggu untuk semua. Masih ingat entri terdahulu kami mengenai bayam malabar? Kali ini kami ingin kongsikan perkembangan dan hasil tuaian sayur ini untuk makan malam kami di LamanComelKami.

Daun hijau seakan berminyak

Mula menghasilkan biji benih

Bayam malabar yang kami tanam telah tumbuh dengan suburnya dan mula menghasilkan biji benih. Setiap kali ke halaman belakang, mata kami tidak pernah terlepas dari memandang tumbuhan yang sentiasa nampak segar ini. Daunnya yang hijau nampak seolah-olah berminyak cukup membuatkan kami gembira, walaupun masakan pertama kami menggunakan sayur ini tidak menepati citarasa.


Ambil bahagian pucuk untuk dimasak

Tumbuk kasar bahan untuk menumis iaitu bawang merah, bawang putih, cili padi, belacan dan kiub ikan bilis

Sedapnya bayam malabar goreng belacan

Kali ini kami cuba memasak bayam malabar dengan belacan dan cili api pula. Ternyata hasilnya tidak menghampakan. Terima kasih kepada Encik Iskandar, pemilik blog tanamsendiri.com yang menjadi pencetus kepada kami untuk mengenali sayur yang agak asing bagi kami, walaupun ramai yang telah menikmati sayur ini sebagai sajian kegemaran keluarga.

Kepada yang baharu mengenali sayur ini, silakan mencuba cara masakan ini dan nikmati bayam malabar yang segar dari halaman sendiri. Alhamdulillah.

26 November 2016

Raikan Cuti Cara Thunbergia Biru (Blue Clock Vine)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat bercuti kepada adik-adik dan selamat bekerja tanpa keriuhan suara anak didik kepada para guru dan warga sekolah semua.

Cuti panjang yang ada tentu sahaja menjadi ruang untuk menghela nafas setelah penat menangani segala hal yang berlaku saban hari. Apapun, bersyukur atas segala nikmat pemberian Yang Maha Esa, dan usah jemu menitip doa untuk kesejahteraan semua.

Bunga Thunbergia Biru @ Blue Clock Vine

Minggu ini bagi kami di LamanComelKami milik Si Thunbergia Biru. Dijemput ke halaman dengan bekalan satu kudup sahaja, kini ia megah mempamerkan bunga-bunga ungu kebiruannya sepanjang minggu. Semakin hari semakin jauh jangkauannya, semakin lebat juga bunganya menghiasi para.

Menunggu masa untuk berkembang

Pada awal minggu ini, bunga pertama berkembang disusuli dua kuntum bunga lagi pada hari berikutnya. Kembangnya silih berganti dan pada pagi ini kami lihat semakin meriah bagaikan merai cuti persekolahan. Mungkin ia sengaja memancing lebih waktu untuk dibelek dan diperhatikan oleh semua, kerana tentunya waktu cuti merupakan waktu terbaik untuk berlama-lamaan di sekitar halaman.

Gagah merambat para

Kembangnya silih berganti

Thunbergia Biru ini juga kami beli di Cameron Highlands semasa melawat taman bunga ros di sana. Kami agak kerap ke sana pada tahun ini disebabkan misi mencari tanaman memanjat sambil membawa seisi keluarga berhujung minggu di sana. Jarak di antara rumah kami ke kawasan tanah tinggi itu pula tidaklah berapa jauh, jadi ia merupakan tempat yang sesuai untuk berehat sambil menikmati cuaca yang sejuk.

Semoga semua penghuni halaman ini sentiasa subur dan menjadi salah satu sebab bagi kami untuk merenung keindahan ciptaan Allah.

21 November 2016

Tarragon yang Istimewa

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Catatan kali ini mengenai pokok herba dari keluarga bunga matahari iaitu tarragon.

Bunga tarragon

Perkenalan kami dengan tarragon berlaku tanpa sengaja di Cameron Highlands semasa kami singgah untuk membeli pokok lavender. Walaupun kami tahu peluang untuk lavender hidup di tanah rendah adalah tipis, dek kerana sifat ingin mencuba, kami cari juga pokok yang satu itu.

Penjual di situ pula mencadangkan kami pokok berbunga kuning yang pada pengamatan kami tidak ada yang istimewa. Ia pokok yang biasa-biasa sahaja dan bunganya seperti bunga tahi ayam dari segi rupa dan warnanya. Yang membezakan bunga pokok ini hanyalah dari segi saiznya yang lebih kecil dari bunga tahi ayam.

Namun, kami bertanya juga kepada si penjual ini mengenai kelebihan si tarragon ini. Katanya ia sedap sebagai ramuan kari ayam. Cuma masukkan beberapa helai daunnya ke dalam kari ayam, ia sebagai penyedap kata penjual itu.

Daun tarragon

Pada fikiran kami, ini termasuk dalam kategori unik juga kerana kebiasaan kita menggunakan daun kari. Daun tarragon dalam kari? Belum pernah kami dengar. Kerana sifat semulajadi kami yang sukakan sesuatu yang berbeza, kami bersetuju menjemput si tarragon ke LamanComelKami.

Maka, bermula saat itu sehingga kini sudah hampir setahun, tarragon menghuni halaman belakang rumah kami. Setelah beberapa kali hampir mati kerana kekeringan, tarragon membuktikan dirinya sebagai tumbuhan yang agak toleran kepada cuaca yang berubah-ubah. Setelah menjumpai tempat yang sesuai, yang lebih redup di halaman belakang, ia kian subur hari demi hari.

Seronok menghuni halaman belakang

Juga alhamdulillah, tidak mengecewakan untuk menikmati kari yang ternyata berganda sedapnya dengan menambah herba tarragon sebagai salah satu ramuannya. Dan bagaimana pula dengan pokok lavender di LamanComelKami? Pembaca semua mungkin boleh meneka kesudahan ceritanya.

16 November 2016

Bunga Telang, Bunga Nasi Kerabu

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua. Catatan kali ini mengenai pokok bunga telang.

Bunga telang

Bunga telang atau Butterfly-pea Flower merupakan sejenis tanaman memanjat. Melalui pemerhatian kami, pokoknya cepat menjalar dan akan berbunga lebat terutama pada musim hujan. Bunganya berwarna biru terang dan sangat menangkap pandangan kerana warna bunganya itu.

Pokok bunga telang kami perolehi dari saudara kami, Encik Roslan, yang juga pemilik Nurseri Flora Selindang. Pokoknya mudah sahaja dibiakkan, dan kami suka menyemai benih dari biji kacangnya. Ada rakan baik kami yang kami berikan anak pokok hasil semaian ini, membiarkan pokok bunga telang menjalar memanjat rumah orkidnya. Sungguh cantik!

Bunga telang berlapis

Pokok bunga telang yang merimbun

Ada 2 jenis bunga telang yang ada di LamanComelKami iaitu yang mempunyai selapis kelopak dan dua lapis kelopak bunganya. Sebenarnya kami menanam pokok bunga telang kerana tertarik dengan warna biru semulajadi pada nasi kerabu yang dijual di pasar. Sejak kecil lagi, kami lebih gemar nasi biru dari warna asli bunga telang berbanding biru dari pewarna makanan.

Kini setelah dewasa, kami dapat memanfaatkan penggunaan bunga telang dalam banyak cara. Hasil carian di Google, kami mencuba air rebusan bunga telang bersama daun pandan, yang menarik warnanya. Juga air rebusan tersebut boleh berubah warna kepada merah jambu jika diperahkan air limau ke dalamnya. Seronok juga bila mendapat 'Wow!' dari Cik Amalin yang kagum dengan perubahan warna tersebut.

Jika berasa bosan dengan nasi berwarna putih, masukkan sahaja beberapa kelopak bunga telang semasa proses menanak. Dan jika nasi tersebut berbaki keesokkannya, buatlah apam dari lebihan nasi tersebut. Ada kelainan dan pastinya menarik. Kami juga pernah mencampurkan bunga telang ke dalam didihan air soya, jadi air soya bukan lagi berwarna putih susu!

Kepada yang inginkan pewarna biru semulajadi, disarankan bunga telang sebagai salah satu sumbernya.

10 November 2016

Cendawan Tiram @ Dapur Mak [Episod Akhir]

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entri kali ini merupakan episod akhir kisah cendawan tiram di dapur mak kami. Kali ini, kami biarkan gambar berbicara. Semoga pembaca mendapat manfaat dari catatan-catatan kami berkaitan topik ini.

EPISOD AKHIR

8 November






9 November




Setelah cendawan-cendawan dipetik, kami mengorek keluar saki-baki akarnya dan menutup muncung bongkah untuk persediaan pusingan kedua. Menurut pengalaman rakan-rakan, muncung bongkah perlu ditutup selama seminggu dan bongkah mesti sentiasa lembap untuk proses pemeraman benih. Setelah seminggu, penutup boleh dibuka dan episod 1 musim baharu pun bermula.

Projek cendawan tiram secara suka-suka pusingan 1 berjaya! Alhamdulillah.