Assalamualaikum dan salam sejahtera. Musim hujan yang melanda mengurangkan aktiviti berkebun di LamanComelKami kerana lazimnya hujan turun lebat di waktu pagi dan petang, menjadikan waktu untuk berkebun sedikit terhad.
Di halaman kami, ada pokok yang tidak tahan dengan air yang banyak dan terpaksa dialihkan ke kawasan berbumbung. Namun, ada antara tanaman yang sangat menggemari musim hujan ini, antaranya pokok bunga telang.
|
Saguppal biru |
Pokok bunga telang berbunga dengan lebat di musim hujan. Demi memanfaatkan bunganya yang banyak, kami mencuba membuat saguppal biru menggunakan pewarna asli dari bunga telang. Sebelum ini kami kerap menggunakan pewarna merah dan hijau untuk pencuci mulut berasaskan sagu ini.
|
Bahan-bahan: 1 cawan sagu halus, 15 kuntum bunga telang (buang tampuk dan ambil kelopaknya sahaja), 2 helai daun pandan, 1 cawan susu cair, 1 kotak kecil santan, 2 ketul gula kerek, gula pasir secukupnya dan secubit garam. |
|
Basuh dan toskan sagu. Didihkan 2 cawan air bersama bunga telang sehingga didihan menjadi biru. Rendam sagu dengan air rebusan yang masih panas, paras air sama dengan paras sagu. Biarkan sagu mengembang. |
|
Didihkan air, larutkan gula kerek dan masukkan daun pandan simpul. Setelah gula larut, masukkan santan dan susu cair, tambahkan gula pasir secukupnya dan secubit garam. Apabila mendidih, kepalkan sagu yang telah direndam tadi dan jatuhkan ke dalam kuah tersebut. Setelah sagu timbul, tutupkan api dan hidangkan suam atau sejuk. |
Sengaja mengubah sedikit untuk tujuan suka-suka, alhamdulillah, percubaan ini diterima oleh keluarga.