18 April 2017

Ros Jepun dan Cikgu

Assalamualaikum semua! Lama sungguh kami tidak menulis. Kekangan utama sudah tentu capaian internet yang sungguh menyedihkan di kawasan luar bandar yang mengehadkan aktiviti dalam blog ini.


Kali ini catatan ringkas kami ditujukan khas untuk guru kesayangan kami dan juga semua yang bergelar guru sempena sambutan hari guru yang bakal menjelma tidak lama lagi. Catatan ini mengenai pokok ros jepun, yang kami panggil juga bunga kembang pukul 10. Sebenarnya, ros jepun bukanlah tanaman kegemaran kami, namun ianya seringkali menangkap pandangan mata untuk terus menikmati warna terangnya.

Kami lebih tertarik pada ros jepun jenis berlapis, kerana pada kami ia nampak sungguh gebu dan comel. Jadi, setiap kali terjumpa, kami akan minta benih pada mana-mana tuannya.


Setiap kali melihat ros jepun, setiap kali itulah terimbau memori semasa di bangku sekolah rendah dahulu. Seingat kami, ia merupakan pokok pertama yang kami tanam secara 'serius'. Serius itu dari segi bersungguhnya menanam untuk menghias ruang hadapan kelas. Lebih-lebih lagi arahan itu datang dari guru kesayangan kami, Cikgu Nahari.


Ros jepun juga mengingatkan kami gubahan dari tisu juga bimbingan beliau iaitu gubahan berbentuk bunga carnation. Sungguh, setiap kenangan itu menjemput senyum dan semestinya rindu pada segala ruang dan peluang bersama pada masa itu.

Cik Amalin pun mempunyai kenangan berkaitan antara ros jepun dan guru-guru tadikanya, Cikgu Mariani dan Cikgu Reena. Sejak bersungguh bersama-sama menyiapkan projek untuk keceriaan sekolahnya, Cik Amalin selalu juga mencuri peluang mematahkan pokok ros jepun dan mencucuknya ke dalam pasu di halaman rumah. Ada satu masa dia tersenyum dan berbisik, "Seronok kan ibu, kita tanam dalam botol kat tadika dulu".

Kami percaya keperibadian seseorang guru itu memberi impak yang besar dalam hidup anak-anak muridnya. Dan harus diakui, semakin unik cara seseorang guru itu, semakin kuat pengaruh yang meresap dalam diri anak-anak didiknya.

Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran kepada semua guru-guru yang telah mewarnai kanvas kehidupan kami di LamanComelKami. Terima kasih, cikgu.